Sabtu, 18 Januari 2014

PHGL : Tanaman dan Masakan










     
 Peria goreng cili bersama udang basah

 


Alhamdulillah kita semua masih bercuti hujung minggu.
Istimewanya cuti yang panjang dalam bulan Rabiulawal ini,
banyak program menyambut Maulidur Rasul masih dianjurkan
sekitar Kuala Lumpur dan daerah di Selangor.

Pada suatu hari ketika pulang dari kerja saya mengikut suami 
singgah untuk membeli barang keperluan Restoran.
Kebiasaannya saya yang telah penat bekerja akan rehat-rehat saja di dalam
kereta sementara suami siap membeli semua barang yang diperlukan.

Pada hari tersebut saya sempat memerhatikan 
tumbuhan yang tumbuh ditepi pagar kawasan parking.
Sememangnya kawasan pasar, jadi tidak hairanlah tumbuhan yang tumbuh
pun adalah dari sisa biji benih sayur-sayuran yang terjatuh di tanah disitu.

Saya pergi dekat, untuk mengenali lebih jauh apakah pokok yang tumbuh tersebut,
hidupnya subur walau tumbuh liar. 
Rupanya  pokok ini adalah pokok buah peria.
Ada beberapa putik buah buah peria yang bakal membesar 
tidak lama lagi insyallah.
Seronok melihat tumbesaran pokok ini.

Jika dapat bertahan, entah siapalah yang akan mengutip hasilnya nanti.  
Jika kita yang menanamnya, 
tentulah kitalah yang akan mengutip dan menikmati hasilnya. 
Kalau banyak hasilnya bolehlah pula dibahagi-bahagikan kepada saudara mara, 
atau jiran tetangga. 

Isi rumah yang suka bercucuk tanam
Perbelanjaan dapurnya tentu dapat dijimatkan 
dan lagi rezeki yang berlebihan 
bolehlah dikongsikan sesama hamba Allah yang lain.
Dari usaha untuk keperluan dunia sendiri kini bertukar menjadi saham akhirat pula
Itulah apa yang saya difikirkan. 

Saya terkenang nostalgia membesar di kampung.
Inilah antara tanaman yang di tanam 
oleh Allahyarham tuk wan dan tuk saya 
ketika saya masih di sekolah rendah 
hingga berada di sekolah menengah suatu waktu dulu.
Setiap cuti sekolah hujung minggu atau pagi-pagi 
sebelum atau pulang dari sekolah saya pasti akan menikmati 
pemandangan seperti ini, begitu juga ketika melewati tanah-tanah sawah
ketika dalam perjalanan pergi dan balik kesekolah.

 Pemandangan alam dan tumbuhan
cukup mengujakan dan membuatkan kita berfikir.
Contoh dari biji benih disemai, kemudian membesar, berbunga
dan berbuah akhirnya terhasillah hasil tuaian yang dapat dinikmati
oleh pemiliknya, dijual atau di sedekahkan kepada yang lain.

Begitulah juga perbandingan kehidupan kita ini, 
dari dalam kandungan ibu, dari setitis mani, menjadi segumpal darah, ditiupkan roh, dlahirkan, dari bayi, membesar menjadi kanak-kanak, beransur ke alam remaja, kemudian dewasa, berkahwin, berkeluarga dan akhirnya kembali kepada penciptanya.
Baik atau tidak semua amalan kita akan dinilai kesudahannya.
Tidakkah kita terfikir, apakah waktu dan masa itu harus disia-siakan begitu sahaja.

Dua perbandingan kehidupan, tumbuhan dan manusia, dua-duanya makhluk Allah
Disitulah adanya bukti-bukti tentang tanda-tanda kebesaran Allah SWT kepada kita yang perlu kita renung-renungkan agar menjadi hikmah buat menambah baik 
diri dan kehidupan kita selagi jasad dikandung roh (nyawa).


Berbalik kepada buah peria itu tadi
walaupun pada ketika zaman keluarga saya berkebun
saya sendiri pun tidak gemar makan buah peria 
sebagai ulam atau juga sayur yang di masak

Pertama kerana rasanya pahit.
Keduanya tak rajin nak mencari menu sebab 
mewah dengan sayur-sayur lain 
kerana di dalam kebun pelbagai sayuran 
ditanam, seronok bercucuk tanam sehingga tidak
berupaya memasak menu hasil tanaman. 
Sebahagian dijual, sebahagiannya pula di sedekahkan.

 Namun begitu ada satu menu ringkas yang saya pelajari dari tuk dan mak saya
iaitu Peria goreng bercili bersama udang segar. 

Cili kering ditumbuk bersama bawang putih atau bawang merah 
Bahan-bahan ini kemudian ditumis di dalam kuali yang diletak minyak masak,
setelah bahan tumis ini digoreng hingga naik bau, 
dimasukkan udang basah, kemudian
di masukkan pula hirisan buah peria, 
buah peria tersebut, direndam terlebih
dahulu dengan air garam untuk keluarkan rasa pahitnya.

Setelah dimasukkan garam secukup rasa,dipanaskan lagi seketika,
menu ini sudah pun siap dan boleh dihidangkan. 
Setelah siap masak sepiring untuk isi rumah sebahagiannya pula
 akan dikirimkan sepiring buat saudara saya yang tinggal di sebelah rumah,
Cik Wan Spora namanya, saya pernah menerima pujian 
darinya hasil masakan saya yang emak hantar padanya.
Ketika itu usia saya masih diperingkat menengah.

Begitulah budaya keluarga hingga kini
 terutama emak yang tinggal dikampung, mereka masih 
bertukar-tukar menu setiap kali siap memasak 
di waktu makan tengahari, atau petang.
Alhamdulillah. 

PERKONGSIAN ILMU

 HIKMAH BERCUCUK TANAM

Maksudnya: Dari Qatadah dari Anas r.a, dia berkata , ‘ Rasulullah s.a.w bersabda, “ Tidaklah seorang Muslim menanam tanaman atau menumbuhkan tumbuhan lalu dimakan oleh burung, manusia atau haiwan ternak melainkan hal itu menjadi sedekah baginya.”
( al-Bukhari, kitab muzara’ah, bab Keutamaan Menumbuhkan dan menanam tanaman apabila sebahagiannya dimakan, no. 2320)

Penjelasan:

-          Hadis ini menerangkan berkaitan tentang keutamaan bercucuk tanam dan bekerja di bidang pertanian, serta anjuran untuk mengolah tanah. 
Hal ini dinyatakan juga tentang bolehnya memiliki tanah dan mengelolanya serta menerangkan berkaitan kekeliruan orang yang zuhud yang mengingkari pekerjaan ini.
-          Selain itu menurut Ath-Thaibi berkata, Muslim itu baik merdeka, budak, taat mahupun maksiat, apabila mengerjakan perbuatan mubah, tetapi dapat diambil manfaatnya oleh haiwan, maka manfaatnya akan kembali kepadanya dan dia berhak mendapat pahala kerananya.
Tenang menghayati ibrah disebalik hadith nabi ini. 
Beruntungnya mereka yang mempunyai tanaman dan 
tanaman itu memberi manfaat bukan sahaja sebagai makanan sendiri dan sumber pendapatan TETAPI suatu hakikat yang cukup indah disebaliknya.
Tanaman siapa yang dimakan oleh 
burung/ haiwan ternakan/manusia 
maka tuan punya tanaman itu akan mendapat pahala sedekah.
 Mudahnya mendapat pahala. 
Oleh itu, janganlah dengan mudah kita menyeksa 
atau menghalau binatang-binatang yang gemar makan di kawasan tanaman kita. 
Sebaliknya berlapang dadalah dan yakinlah setiap rezeki telah ditetapkan oleh Allah...

HIKMAH JUADAH MASAKAN SEBAGAI PENGHUBUNG SILATURAHIM
 
 Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansori RA bahawasanya seorang lelaki berkata 
“Wahai Rasulullah, beritahu aku mengenai amalan yang membolehkan aku masuk syurga”.

Jawab Rasulullah SAW: “Beribadahlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan solat, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturahim”.
 Islam juga mengajar umatnya banyak perkara yang boleh dilakukan dalam usaha meningkatkan hubungan silaturahim dengan jiran termasuk menghadiahkan sebahagian juadah kepada jiran dan bertegur sapa.

Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda supaya sahabat memberikan juadah masakan kepada jiran khususnya jika masakan itu berbau kuat sehingga menyebabkan jiran itu berhajat dengannya.

Daripada Abu Dzar ra katanya, sabda Rasulullah SAW: “Wahai Abu Dzar apabila kamu merebus daging (membuat sup) banyakkan airnya (kuahnya) dan hendaklah engkau ingat jiran engkau.”

Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Dzar juga katanya: “Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah SAW) berpesan kepadaku, apabila engkau memasak daging banyakkan airnya, kemudian lihatlah kaum keluarga jiran engkau dan berilah sebahagian daripadanya dengan cara yang baik.”

Isteri kesayangan Baginda SAW sendiri, Aisyah ra pernah berkata. “Aku bertanya, wahai Rasulullah SAW, aku mempunyai dua jiran tetangga yang berdekatan maka yang mana satukah boleh aku berikannya hadiah?” Jawab Rasulullah SAW: “Berikan (hadiah itu) kepada jiran yang paling dekat pintu rumahmu.”

Malah, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturahim.” 
Wasallam

Tiada ulasan: