Rabu, 4 Julai 2012

Malam Nisfu Syaaban








Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih Dan Penyayang


Salam sejahtera dan salam nisfu syaaban, 
semoga kita semua sentiasa di dalam rahmat Allah hendaknya,
walau di mana sahaja berada,
demikianlah bertemu kita lagi di malam nan indah ini,
sempena malam nisfu syaabaan bagi tahun 1433 Hijrah
isi ruang masa yang ada sebaik-baiknya...dengan amal ibadah
yang terbaik pada malam ini...
dekatkanlah diri kita denganNya
berdoalah....
insyallah mudah-mudahan doa kita diangkat olehNya dimalam 
yang penuh keindahan dan keberkatan ini..




PERKONGSIAN ILMU




Pengertian nisfu Syaaban
Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah
Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. 
Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.
Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. 
Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh
 Imam Al-Baihaqi r.a:
Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. 
Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, 
“Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. 
Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”
Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalah malam Nisfu syaaban. 
Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”
Hari nisfu sya’aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. 
Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, 
(15 Sya’aban bermula pada 14 hb sya’aban sebaik sahaja masuk waktu maghrib).
Keagungan Syaaban adalah dengan kedatangan malam ke-15, iaitu malam Nisfu Syaaban, malam yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan.
Sabda Rasulullah SAW: 
“Apabila tiba pada malam Nisfu Syaaban maka berjagalah kamu pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya kerana sesungguhnya Allah turun (merahmati hamba-hamba-Nya) pada waktu itu mulai terbenamnya matahari ke langit dunia. 
Allah SWT berfirman:
 “Siapa yang memohon keampunan maka aku akan mengampunkannya, siapa yang meminta rezeki, maka aku akan kurniakan kepadanya rezeki, siapa yang ditimpa bala aku akan melepaskannya. 
Adakah daripada kalangan mereka begini dan adakah daripada kalangan mereka begini 
(berturutan pertanyaan daripada Allah) sehingga terbit fajar?”     
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Pada malam Nisfu Syaaban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. 
Menurut Imam Asy-Syafie dalam kitabnya al-Umm telah berkata:
 ‘Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: 
pada malam Jumaat, 
malam Hari Raya Adha,
 malam Hari Raya Aidil Fitri, 
malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.’
Bulan Sya’aban, keagungan malamnya dengan Nisfu Syaaban seperti keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. 
Malam Nisfu Syaaban juga dipanggil:
  • Lailatul Mubarakah (malam keberkatan),
  • Lailatul Baraah (malam pelepasan),
  • Lailatul Qismah wal-taqdir (malam pembahagian dan penentuan)
  • Lailatul Takfir (malam mengkifaratkan dosa).
  • Lailatul Ijabah (malam diperkenankan doa),
  • Lailatul Syafaah (malam syafaat)
  • Lailatul Idil Malaikah (malam raya malaikat).
  • Lailatul Hayat (malam hidup), iaitu malam yang tidak dimatikan apabila seseorang menghidupkan malamnya.

Hidupkan Malam Nisfu Syaaban
Daripada Aishah r.a. berkata: Rasulullah SAW telah bangun malam dengan bersolat dan baginda telah memanjangkan sujudnya sehingga aku menyangka bahawa baginda telah dicabut nyawanya.
Apabila baginda mengangkat kepalanya dari sujud dan selesai dari solat, baginda bertanya kepadaku: “Wahai Aishah, adakah aku telah mengabaikanmu?”
Aku menjawab: “Tidak wahai Rasulullah, tetapi aku sangka engkau telah dicabut nyawa disebabkan lamanya engkau bersujud”.
Baginda pun berkata: “Tahukah engkau apakah malam ini?”
Aku menjawab: “Allah dan RasulNya yang lebih tahu”.
Baginda berkata: 
“Ini adalah malam pertengahan bulan Syaaban. 
Sesungguhnya Allah SWT melihat para hambaNya pada malam pertengahan bulan Syaaban, maka diampunkan orang yang memohon ampun, dirahmati orang yang meminta rahmat…”.    
(Direkodkan oleh Baihaqi: Hadis Mursal)

Sabda Rasulullah bermaksud: 
“Sesiapa yang menghidupkan malam Nisfu Syaaban dan dua malam raya 
(Aidilfitri dan Aidiladha), hatinya tidak akan mati pada hari dimatikan hati-hati orang lain.”
Diriwayatkan oleh Al-Dar Qutnu dan Imam Ahmad darpada Syaidah Aisyah;  
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 
“Sesungguhnya Allah  SWT turun ke langit dunia pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab (Kabilah arab yang paling banyak kambing).”

Allah SWT memenuhi keampunan dan Rahmat-Nya pada malam ke-15 Syaaban, maka umat Islam digalak memperbanyakkan amal ibadat dengan membaca:
  • Kalimah syahadah,
  • Membaca Al Quran  
  • Beristighfar,
  • Berselawat dan berdoa,
  • Bertasbih, tahmid, tahlil dan takbir.

Sesetengah ulama berpendapat, pada malam itulah ditukar dan ditentukan umur dan rezeki umat manusia. 
Teruskanlah membuat amal kebaikan, kerana selepas 15 Syaaban, maka bermulalah rekod amalan baru bagi setiap hamba.
Janganlah memohon hanya kepada tiga perkara, malah mohonlah apa saja asalkan perkara yang diharuskan. 
Sebaiknya, mohonlah ditambahkan keimanan dan kecintaan kepada Allah. 
Hanya iman yang bertambah akan terus subur dan membawa kita ke arah kebenaran.
Semoga dengan doa kita pada Malam Nisfu Syaaban, Allah mengurniakan apa yang kita mohonkan. 
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nya ummul kitab (ibu segala suratan).” 
(Surah al-Ra‘d , ayat 39)


Wasalam






Tiada ulasan: