Suatu malam dinihari seperti kebiasaannya...
saya berteleku di sejadah lagi.
...ketika berdoa
saya terbayang kembali doa yang telah saya lafazkan di depan
Kaabah....debaran dan getaran itu sama...
Ada air jernih panas mengalir ke pipi......
kepala saya sesak...mata saya bengkak ,
hingga ke pagi saya tidak lelap mata.
Saya beristighfar banyak2
saya mengaji...perlahan-lahan ...
antara sebaris ayat suci yang menyentuh perasaan berbunyi begini:
Dan demi sesungguhnya!
Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran
(daripadanya)
Surah Al Qamar ayat ke 17
PERKONGSIAN ILMU
APABILA KELUARGA TIDAK SOLEH
Apabila seorang Muslim beriltizam untuk menjalani hidup mengikut lunas-lunas agama, kewujudan ahli keluarga terdekat yang memilih cara hidup atau mempunyai tabiat yang bercanggah dengan anjuran agama seperti:
· cara hidup dan tabiat itu bercanggah dengan aspirasi dan harapan diri;
· cara hidup dan tabiat itu berpotensi untuk mempengaruhi persekitaran di rumah dan anggota keluarga yang lain;
· harus mengerah tenaga dan fikiran untuk menasihatinya kerana Islam menganjurkan nasihat dan dakwah, khususnya kepada ahli keluarga terdekat dan seringkali ini boleh menimbulkan ketegangan dalam hubungan.
Seringkali masalah ini menimbulkan tekanan, sedih dan hampa pada diri seorang Muslim.
Akibat dari situasi ini pula pelbagai. Ada yang mampu bersabar dan terus berusaha. Namun tidak sedikit yang jatuh dalam kemurungan atau berpatah arang hingga memudaratkan diri atau menjejas keharmonian keluarga.
Bagaimanakah Muslim menghadapi situasi ini?
Sikap pertama yang perlu dilakukan ialah untuk memuhasabah diri dan keadaan; apakah sebab perkara sedemikian berlaku.
Tujuannya ialah untuk mengenal pasti akar masalah bagi memudahkan usaha mencari huraiannya. Selain itu, supaya dapat kenalpasti kesilapan diri agar dijadikan pelajaran. Mungkin sahaja kesilapan dan kelemahan diri turut menyumbang pada masalah itu dan bukan berlaku 100% disebabkan ahli keluarga berkenaan.
Sikap ini sejajar dengan perbuatan nabi s.a.w. Apabila gagal memujuk penduduk kota Taif untuk menerima Islam dan melindungi dirinya dan dihalau oleh mereka dengan hinaan dan lontaran batu, nabi s.a.w mengadu pada Tuhan akan kelemahan dirinya dan tidak cepat menyalahkan penduduk Taif dan menuduh mereka sebagai degil.
Setelah itu, seorang Muslim hendaklah mempunyai tanggapan yang positif bahawa apa yang dihadapinya adalah satu ujian dari Tuhan (Al-Baqarah:155).
Ujian ini adalah satu lumrah hidup (Al-Mulk:2) yang dihadapi oleh semua manusia yang kadangkala dalam bentuk kecacatan tubuh, sakit, kemiskinan atau kematian sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat Al-Baqarah di atas.
Walaupun ujian mengandungi kesulitan, tapi ia juga satu peluang untuk mendapat pahala dan keredaanNya selama mana dia sabar dan berusaha mengatasinya sebaik mungkin.
Sikap positif ini sesuai dengan anjuran Al-Quran agar sentiasa mempunyai harapan baik (Yusuf:87) dan anjuran nabi s.a.w dalam hadits qudsi yang bermaksud,
“Aku (Allah) adalah seperti sangkaan hambaKu terhadap Aku. Dan Aku bersamanya tatkala dia mengingatiKu” (Riwayat Al-Bukhari).
Pengajaran dari para nabi
Al-Quran merupakan kitab panduan utama bagi Muslim dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup. Dalam masalah yang dibicarakan, Al-Quran membentangkan kisah para nabi sebagai contoh dan inspirasi terbaik untuk diambil iktibar.
Terdapat dalam Al-Quran kisah para nabi dan individu pilihan yang berhadapan dengan masalah ahli keluarga yang bukan hanya tidak soleh tetapi menolak dakwah yang dibawa oleh mereka. Kisah-kisah ini ialah:
· Nabi Adam a.s. - anaknya Qabil inkar pada ajaran bapanya dan membunuh saudaranya sendiri (Al-Maidah:27-30)
· Nabi Nuh a.s. - isteri dan anaknya tidak beriman (Hud:42, Al-Tahrim:10)
· Nabi Lut a.s - isterinya tidak beriman (Al-Tahrim:10)
· Nabi Ibrahim a.s. - bapanya tidak beriman (Al-An`am:74)
· Asiah isteri Firaun - suaminya amat kuat memusuhi nabi Musa a.s. (Al-Tahrim:11)
· Rasulullah s.a.w. - pakciknya Abu Talib dan ramai saudara mara terdekatnya tidak beriman
Jika diteiliti kisah-kisah di atas ia memberi contoh bagi pelbagai senario dan keadaan bagi manusia. Senario-senario berikut ialah:
· suami yang soleh berhadapan dengan isteri yang ingkar (kisah Nuh dan Lut)
· anak yang soleh berhadapan dengan ibu bapa yang ingkar (kisah Ibrahim)
· isteri yang soleh berhadapan suami yang ingkar (kisah Asiah)
· ibu bapa yang soleh berhadapan anak yang ingkar (kisah Adam dan Nuh)
· individu yang soleh berhadapan dengan saudara mara yang ingkar (kisah nabi Muhammad s.a.w)
Ertinya pada apa jua situasi, terdapat contoh dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan.
Pengajaran pertama dan yang menonjol dari kisah-kisah di atas ialah sikap tidak menyisih anggota keluarga berkenaan dalam hubungan kekeluargaan.
Jelas dari Al-Quran bahawa nabi Nuh dan Lut tetap mengekalkan perkahwinan i..e menjadi suami kepada isteri-isteri mereka yang ingkar itu. Mereka tidak menceraikan, menyisih atau menghalau isteri-isteri itu dari rumahtangganya.
Pastinya contoh ini mempunyai hikmah iaitu dengan mengekalkan hubungan kekeluargaan dan tidak menyisih mereka ini membuka ruang untuk terus berkomunikasi yang mana mungkin satu masa akan mampu mengubah hati yang berkenaan.
Berbanding jika berputus arang yang hanya akan merosakkan hubungan hati bahkan menutup pintu komunikasi sama sekali.
Walaupun tidak redha dengan maksiat dan kekufuran anggota keluarga mereka, semua kisah-kisah di atas menunjukkan layanan yang baik dan ihsan kepada anggota keluarga mereka yang tidak soleh oleh nabi-nabi berkenaan.
Hal ini dapat dilihat dari sikap nabi Nuh hingga saat akhir tetap menunjukkan sifat sayang pada anaknya dengan mendoakan untuknya. Demikian juga dengan nabi Ibrahim.
Al-Quran merakam perbualan beliau dengan bapanya dengan cara yang penuh hormat dan kasih sayang (Maryam:41-6). Ibrahim juga tidak henti-henti mendoakan keampunan bagi bapanya (Maryam:47). Mereka hanya berhenti memanjatkan doa apabila Allah menegur perbuatan mereka itu (Al-Taubah:113-4, Hud:46).
Dia (Allah) berfirman, Wahai Nuh, Sesungguhnya dia bukanlah termasuk keluargamu, karena perbuatannya sungguh tidak baik, sebab itu jangan engkau memohon kepadaKu, sesuatu yang engkau tidak ketahui hakikatnya. Aku menasihatimu agar engkau tidak termasuk dikalangan orang yang bodoh.
Kisah-kisah para nabi ini juga mengajar para ibu bapa bahawa iman dan kesolehan bukan sesuatu yang boleh diwarisi.
Ia diperolehi melalui proses pendidikan dan dakwah di kalangan ahli keluarga secara konsisten i.e. dari kecil hingga dewasa.
Oleh itu, para ibu bapa haruslah sedar biar setinggi mana taqwa dan kesolehan dirinya, tapi jika komitmennya pada pendidikan agama ahli keluarganya diabaikan kerana berpada dengan kesolehan diri sendiri sahaja ia akan berhadapan dengan risiko ahli keluarga yang ingkar terhadap agamanya.
Jangan cepat menghukum
Bagi anggota masyarakat pula hendaklah mengambil iktibar agar tidak cepat mencela kewibawaan dan keperibadian seorang individu yang soleh kerana ahli keluarga yang tidak soleh seperti isteri dan anak.
Kecelaan terhadap individu ini ialah apabila dia tidak berusaha sedaya upaya untuk berdakwah dengan ahli keluarganya itu atau ia mengambil mudah dan redha terhadap kemungkaran yang berlaku kerana nabi Nuh dan Lut tidak sedikit pun dicela keperibadian mereka atas keingkaran isteri masing-masing.
Oleh itu, janganlah cepat menghukum kerana individu itu mungkin seperti nabi Nuh, yang lebih mulia dari kita walau pun isterinya kufur dengan ajaran Allah taala.
Perlulah difahami dalam hal ini bahawa seorang individu tidak dihisab oleh Allah taala atas maksiat yang dibuat oleh ahli keluarganya (Al-Najm:38).
Dia hanya dituntut untuk berusaha sedaya upaya untuk membetulkan keadaan tetapi natijah dan hidayah hanyalah ketentuan Allah semata-mata (Al-Qasas:56).
Semoga artikel yang ringkas ini dapat memberi perspektif yang berguna bagi sesiapa sahaja yang berhadapan dengan masalah dan ujian ahli keluarga yang tidak soleh.
Wasallam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan