Sabtu, 5 November 2011

SALAM AIDIL ADHA

Hari ini 5hb November 2011 bersamaan 9 Zulhijjah bagi tahun 1432 hijrah adalah hari di mana para jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia berkumpul di Arafah ....menunaikan ibadah wukuf. Esok 6hb November 2011 bersamaan 10 Zulhijjah umat islam seluruh pelusuk dunia akan menyambut  aidil adha atau hari raya korban.
Sebagaiman kebiasaannya seperti tahun2 yang lepas shami sekeluarga menyambut datangnya aidil adha di rumah kami di Rawang.
Di kesempatan ini Shami dan Pak Ngah Hilmi  dengan ini mengucapkan salam aidil adha 
istimewa untuk : 
Bonda dan ayahanda shami dan bonda Pak Ngah Hilmi...serta seisi keluarga, pembaca2 blog SEHARI DALAM HIDUPKU (SDH) yakni silent reader maupun yang dikenali, kawan2 ukhwah PDKM, kawan2 dari pengajian terendah dan tertinggi ...dimana saja berada mudah-mudahan kita semua sentiasa berada didalam rahmat serta kasih sayang Allah hendaknya....
"SELAMAT MENYAMBUT AIDIL ADHA PADA SEMUA SEMOGA BERBAHAGIA BERSAMA SEISI KELUARGA"
******
Catatan perkongsian ilmu sempena Aidil Adha....
Bagi umat Islam, Allah SWT menganugerahkan dua hari kebesaran untuk diraikan menurut ketetapan Syarak. Dua hari kebesaran tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Hari Raya Puasa (Eid al-Fitr) dan Hari Raya Haji atau juga disebut Hari Raya Korban (Eid al-Adha). Sebenarnya, kedua-dua hari raya ini merupakan antara nikmat Allah SWT yang diberikan kepada seluruh umat Islam agar mereka terus bersyukur dan membesarkan keagungan dan keesaan Allah SWT.
Jika dilihat dari sirah Rasulullah SAW, setelah Baginda berhijrah ke Madinah, penduduk Madinah pada ketika itu meraikan dua hari kebesaran mereka. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Aku datang kepada kamu sedangkan kamu memiliki dua hari yang kamu bersenang-senang pada hari tersebut. Allah telah menggantikan untuk kamu yang lebih daripada dua hari itu, iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Puasa.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Nasa’i).
Kini kita telah memasuki bulan Zulhijjah, iaitu satu bulan yang memiliki kelebihan yang tersendiri. Kelebihan yang dimaksudkan di sini merujuk kepada hari kebesaran umat Islam yang akan disambut dalam bulan ini. Sepertimana yang diketahui umum, Hari Raya Korban (Eid al-Adha) jatuh pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Inilah yang dimaksudkan dengan kelebihan yang terdapat dalam bulan Zulhijjah.
Rasulullah SAW pernah menyatakan kelebihan bulan Zulhijjah berbanding bulan-bulan yang lain menerusi sebuah hadis yang bermaksud:
“Dua bulan yang tidak memiliki kekurangan adalah bulan Ramadan dan Zulhijjah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Jika difahami dengan lebih lanjut, kelebihan bulan Zulhijjah adalah pada 10 hari terawalnya. Ini berdasarkan beberapa dalil al-Quran dan hadis yang menjelaskan perkara ini. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Demi waktu fajar. Dan sepuluh malam.” (Surah al-Fajr, ayat 1-2).
Menurut Ibn Abbas, Mujahid dan lain-lain, yang dimaksudkan dengan sepuluh malam dalam ayat tersebut ialah sepuluh malam atau sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah.
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.” (Surah al-Hajj, ayat 28). Menurut Ibn Abbas, “hari-hari yang ditentukan” dalam ayat tersebut merujuk kepada sepuluh hari terawal dalam bulan Zulhijjah.
Rasulullah SAW juga bersabda bagi menjelaskan kelebihan 10 hari bulan Zulhijjah ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: “Walaupun berjihad pada jalan Allah?” Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad pada jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” (Hadis riwayat al-Bukhari, Ahmad dan al-Tirmidzi).
Begitu besar ganjaran yang akan dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang memanfaatkan peluang beribadah pada 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini (sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah). Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”(Hadis riwayat Ahmad).
Berdasarkan beberapa dalil al-Quran dan hadis ini, jelas menunjukkan kepada kita tentang kelebihan bulan Zulhijjah, khususnya pada sepuluh hari terawalnya. Ditambah pula dengan kehadiran salah satu hari kebesaran umat Islam iaitu Hari Raya Korban. Adalah wajar untuk kita semua merebut peluang yang cukup berharga ini dengan menunaikan amal kebajikan semaksimum mungkin pada bulan ini. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, di antara sebab-sebab keistimewaan sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah ini ialah kerana di dalamnya terhimpun beberapa ibadat yang besar iaitu: solat, puasa, sedekah dan haji. Pada bulan-bulan lain, ibadat-ibadat besar dalam Islam ini tidak pernah terhimpun secara serentak sepertimana yang berlaku pada bulan Zulhijjah.
Banyak amal kebajikan yang boleh kita lakukan di sepanjang sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah ini. Antaranya ialah dengan banyak berzikir atau mengingati Allah SWT. Inilah amalan yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah SAW dan para salaf al-salih pada sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah. Sebenarnya, amalan berzikir atau sentiasa mengingati Allah SWT akan membawa banyak faedah kepada manusia khususnya dalam usaha mencapai ketenangan jiwa. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).
Selain itu, kita juga dianjurkan untuk menunaikan ibadah puasa sunat terutama pada 9 Zulhijjah yang merupakan hari Arafah. Pada hari ini, umat Islam yang sedang melakukan ibadah haji, sedang berada di padang Arafah untuk menunaikan ibadah wukuf. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Berpuasa pada hari Arafah, aku mengharapkan daripada Allah untuk menghapuskan dosa selama setahun yang telah berlalu dan setahun yang akan datang.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, Ahmad dan Baihaqi).
Perlu diingatkan di sini, bahawa ibadah puasa sunat hari Arafah hanya disyariatkan untuk mereka yang tidak menunaikan ibadah haji. Manakala umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji, maka ianya bukanlah satu tuntutan kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa ketika Baginda SAW sedang wukuf di Arafah. Selain itu, harus difahami bahawa, pada 10 Zulhijjah iaitu Hari Raya Korban (Eid al-Adha), umat Islam diharamkan untuk berpuasa. Di sinilah terpancarnya keindahan Islam yang tidak memaksa umatnya melakukan ibadah, ketika sebahagian besar umat Islam yang lain sedang bergembira meraikan hari kebesaran Islam.
Pada Hari Raya Korban yang jatuh pada bulan Zulhijjah, umat Islam dianjurkan untuk meraikan hari kebesaran ini menurut panduan yang telah digariskan oleh Islam. Hari kebesaran ini harus disambut sepertimana tatacara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Di antara perkara sunat yang boleh diamalkan pada hari raya ini ialah memperbanyakkan ucapan takbir, tahmid dan tahlil. Ucapan-ucapan ini adalah untuk menunjukkan rasa syukur kita kepada Allah SWT dan mengiktiraf keagungan dan kebesaran-Nya. Berbeza dengan Hari Raya Puasa, pada Hari Raya Korban, umat Islam disunatkan melaungkan takbir selama empat hari iaitu pada 10 Zulhijjah dan juga pada hari-hari Tashriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Pada pagi Hari Raya Korban iaitu 10 Zulhijjah, umat Islam juga disunatkan untuk menunaikan solat sunat Eid al-Adha serta mendengar khutbah hari raya. Terdapat sedikit perbezaan dalam perlakuan Rasulullah SAW ketika Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban. Menurut Buraidah:
“Rasulullah SAW tidak keluar (untuk solat Eid al-Fitr) sehingga Baginda makan, manakala pada Hari Raya Korban, Baginda tidak makan sehingga kembali dari solat, dan Baginda makan daripada sembelihannya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Majah).
Ini bermaksud, Rasulullah SAW tidak makan sebelum menunaikan solat sunat Eid al-Adha, dan Baginda SAW akan makan selepas menyempurnakan solat dan ibadah korban, serta makan daging korban tersebut.
Berkaitan dengan ibadah korban, umat Islam yang berkemampuan digalakkan untuk melaksanakan ibadah korban. Masa yang ditetapkan untuk melaksanakan ibadah ini ialah pada Hari Raya Korban iaitu 10 Zulhijjah dan pada hari-hari Tashriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Menyembelih binatang korban hanya boleh dilakukan setelah selesai solat hari raya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang menyembelih korban sebelum solat, maka sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang menyembelih sesudah solat dan dua khutbah, maka sesungguhnya sempurnalah ibadahnya dan tepatlah menurut sunnah orang-orang Islam.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Demikianlah sedikit perkongsian ringkas tentang pemanfaatan peluang keemasan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita dalam bulan Zulhijjah. Sebagai umat Islam yang sentiasa mengharapkan rahmat dan keredaan Allah SWT, maka peluang ini tidak wajar dibiarkan berlalu begitu sahaja. Orang Islam yang beriman, akan sentiasa berusaha merebut peluang yang diberikan oleh Allah SWT serta akan terus melaksanakan amal kebaikan pada waktu-waktu yang lain.
Sebenarnya, peluang yang diberikan oleh Allah SWT ini merupakan satu medan untuk mendidik jiwa dan mentarbiyah nafsu agar terus tunduk dan patuh kepada-Nya. Amal kebajikan yang kita lakukan pada bulan ini seperti memperbanyakkan zikir dan puasa, perlu diteruskan pada bulan-bulan yang lain kerana rahmat dan ganjaran Allah SWT itu amat luas bagi setiap hamba yang ikhlas beribadah kepada-Nya.
Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.”
                                                                  (Surah al-Hajj, ayat 37)


Wasallam

3 ulasan:

afeezz berkata...

assalamualaikum kak shami : selamat menyambut hari raya aldiladha buat kak shami sekeluarga

atuk berkata...

Salam Aidil Adha Shami

semoga segala amalan kita diterima oleh Allah
amin

Wassalam

KAMATO berkata...

salam aidiladha, moga ketakwaan kita akan bertambah

Pak Ngah Hilmi Katering : Lemang dari daun lerek

Salam sejahtera, lemang sangat sinonim dengan Syawal, tahun ini Pak Ngah Hilmi Katering menyajik...