P" NGAH HILMI KAMBIN P'GANG

Sabtu, 4 Februari 2012

MENYULAM CINTA ALLAH & RASUL


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih dan Penyayang
Alhamdulillah


Salam hari sabtu, seindah hari ini dan 12 Rabiul Awal yang bakal tiba 
shami dan Pak ngah hilmi sekeluarga
Ucapkan Selamat Menyambut Maulidul Rasul
Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan redha Allah hendaknya
Insyallah...
Biarlah kita terseksa sedikit, 
demi sebuah kebahagiaan. 
Demi sebuah kenikmatan. 
Demi sebuah syurga. 
Demi sebuah cinta. 
Cinta kepada Sang Pencipta Cinta.
 Ingatlah, hanya itulah cinta yang abadi. 
Cinta yang diredhai.
Kadang-kadang Allah tutup matahari,


Allah datangkan hujan dan guruh yang menyeramkan.


Kita tertanya-tanya, "ke mana perginya matahari? 


Kenapa Allah uji aku 


sampai macam ini?"


Namun, selepas itu, Allah memberi kita pelangi.


Indahnya pelangi itu.

Ya, Itulah pelangi cinta.

Cinta yang paling indah.

Itulah cinta ilahi.



DOA 
Ya Allah,
Rahmatilah kami dengan al-Quran,
Jadikan ia pimpinan, cahaya, petunjuk dan rahmat,
ya Allah ingatkan kami, apa yang terlupa,
Ajarkanlah...
Ajarkanlah...
Yang tak diketahui,
Kurniakan kami membacanya,
Sepanjang malam,
dan sepanjang siang hari,
Jadikan ia hujjah kami (pembela kami di Akhirat),


Ya Allah,
Jadikanlah cahaya di hatiku,
Cahaya di lidahku,
Cahaya di pendengaranku,
Cahaya di penglihatanku,
Cahaya dari belakangku,
Cahaya di hadapanku,
Cahaya dari atasku,
Dan cahaya dari bawahku.
Ya Allah, berilah aku cahaya......
 Amin.

Eid Milad, Ya Rasulullah....Kami merinduimu..


MENCINTAI RASULLULLAH
Mencintai Nabi Muhammad SAW adalah satu prinsip agama yang penting serta mendasar kerana seseorang itu tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi Muhammad SAW melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang fasik (derhaka).” (Surah al-Taubah, ayat 24)
Rasulullah berhak meraih cinta umatnya kerana baginda adalah makhluk yang paling mulia di sisi Allah, memiliki akhlak yang luhur dan jalan yang lurus, mengasihi umatnya, memberi petunjuk kepada umatnya, menyelamatkan umatnya dari neraka dan menjadi rahmat kepada seluruh alam.
Mencintai Nabi Muhammad SAW adalah kesan kesaksian kita bahawa Muhammad itu utusan Allah yang menjadi sebahagian daripada kalimah syahadah.

Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah SAW memiliki ciri tertentu antaranya :
Mentauhidkan Allah.
Hikmah utama diutusnya rasul termasuk Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik.
Firman Allah yang bermaksud:
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka). Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi Taghut.” (Surah al-Nahl, ayat 36)
Untuk membuktikan kasih sayang kita kepada Nabi Muhammad SAW, hendaklah sekalian umat Islam menghindari amalan syirik dan mengikhlaskan ibadah hanya kepada Allah. Mentauhidkan Allah adalah bukti paling kukuh menunjukkan kita mencintai Nabi Muhammad SAW.
- Mempelajari al-Quran, memahaminya, mengamalnya dan menyebarkan ajarannya.
Antara tanda mencintai Rasulullah SAW adalah dengan memanfaatkan al-Quran yang menjadi mukjizatnya dalam segala aspek kehidupan kita.
Ibnu Mas’ud berkata: Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya, kecuali al-Quran. Apabila dia mencintai al-Quran, maka dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.
Untuk merealisasikan makna mencintai al-Quran hendaklah kita mempelajari dan memahami isi kandungan dan beramal dengannya serta menyebarkan pengajaran yang terkandung dalamnya kepada seluruh umat manusia.
Mentaati Sunnah Nabi SAW.
Satu lagi tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi Muhammad SAW dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)
- Menyebarkan sunnah Nabi SAW.
Mencintai Nabi SAW bukan sekadar hanya taat kepada sunnah baginda, tetapi hendaklah kita bersungguh menyampaikan serta mengajarnya untuk menyambung tugasan baginda. Jika kerja dakwah baginda tidak ada kesinambungan, pasti sunnahnya akan mati dan digantikan amalan yang bercanggah dengan syarak.
Sentiasa memuji dan mengingatinya.
Mencintai Nabi Muhammad SAW, bermakna baginda sentiasa berada di hati kita. Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan membaca serta mempelajari sejarah hidup baginda serta berusaha untuk menjadikan perjalanan hidup baginda sebagai cahaya menyuluh perjalanan kita.
Mencintai mereka yang dicintai Nabi SAW.
Antara tanda cinta kepada Nabi SAW adalah mencintai mereka yang dicintai baginda seperti isteri-isterinya, ahli keluarga dan sahabatnya serta seluruh umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran baginda.
Membenci orang yang dibenci Nabi SAW.
Hendaklah kita membenci serta menjauhkan diri daripada mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya seperti golongan yang kufur kepada agama Allah dan mereka yang bergelumang dengan perbuatan bertentangan syarak.
Membela Nabi SAW daripada serangan golongan munafik.
Dewasa ini kita melihat institusi kenabian, hukum-hakam Allah serta sunnah baginda sedang hebat diperlekehkan kelompok munafik.
Oleh itu, tanda kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW adalah membantah hujah golongan itu dan membela baginda dengan memberi penjelasan kepada seluruh umat Islam terhadap isu batil yang dibangkitkan musuh Allah itu.
Demikianlah antara tanda yang menggambarkan hakikat sebenar mencintai Nabi Muhammad SAW. Jelas di sini mencintai Nabi SAW bukan satu perkara yang datang hanya setahun sekali. Mencintai Nabi Muhammad SAW adalah satu proses berterusan dan sentiasa perlu diberi perhatian setiap waktu dan ketika oleh seluruh umat Islam.

******
Cinta Kita dengan Rasulullah S.A.W. 

Cinta seharusnya dipupuk dalam-dalam. 
Andai ada cinta, barulah kita benar-benar dapat merasakan betapa kita menanti-nanti tanggal 12 Rabiulawal.
 Bukan lagi sekadar kerana sebuah cuti umum yang diadakan dengan pelbagai program mengingati kuputeraan seorang yang ditugaskan menyampaikan risalah Allah, tetapi satu hari teristimewa yang amat dinantikan, untuk dilakukan pelbagai perkara yang mampu membuatkan baginda semakin sayang pada kita semua.
Semestinya perasaan itu tidak mampu hadir serta-merta. 
Bukan mudah menerbitkan cinta. Bukan mudah juga untuk jatuh cinta. Untuk mencintai, semestinya kita harus mengenali. Bukan cukup kalau sekadar mengenali bibliografi, tetapi harus menganjak jauh mengenali hati budi. 
Percayalah bahawa, setelah mengenali baginda, terlalu mudah untuk kita jatuh cinta dengan insan agung yang dicintai Allah ini. Peribadinya sahaja sudah cukup membuatkan yang mengenalinya tertawan. 
Mana tidaknya, akhlak baginda merupakan cerminan al-Quran. Pelbagai kisah menarik yang tercatat dalam sirah yang mampu membuatkan kita tersenyum, merindui kehadiran baginda dalam kehidupan kita. Tambahan pula apabila mengetahui, saat hayatnya, kita semua yang tak pernah diketemuinya ini disebut-sebut, malah hingga ke akhir hayatnya, baginda masih mengingati umatnya dengan lafaz syahdu.. \"ummati..ummati..ummati...\".
Mana mungkin kita gagal untuk jatuh cinta pada baginda?
Bukan setakat mencintai.. Setelah mencintai, pastinya jiwa menggesa untuk berkorban membuktikan cinta. 
Dengan cinta, lafaz \"Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah\" pastinya lebih bermakna. Kesaksian yang terkepil dengan satu amanah penyaksian misi dakwah Rasulullah yang harus diteruskan sudah tentu menjadi satu azam yang terpasak dalam jiwa. 
Bukan lagi menjadi sebuah tanggungjawab yang dirasakan terpaksa untuk dilangsaikan, tetapi sebagai satu bukti rasa cinta mengharapkan Rasulullah S.A.W turut mencintai kita,mencintai umat yang tegar menuntun perjalanan profesyen utama baginda, profesion seorang pendakwah.
Lafaz selawat "Sallallhu 'ala Muhammad, Sallallahu 'alaihi wasallam" juga mudah dilafazkan dengan getar rasa cinta dalam jiwa. Tiap lafaz dialunkan dengan rasa cinta dan rindu yang cukup mendalam, mengharap syafaat daripada baginda di akhirat kelak. 
Lafaz ini pastinya dikumat-kamitkan selalu dengan penuh pengharapan supaya nanti saat ketemu di akhirat, kitalah yang diperhatikan baginda saat baginda berpaling melihat umatnya, dengan senyuman terindah. 
Subhanallah..betapa indahnya!
Setiap perkara sunat yang diperturunkan juga dapat dilakukan dengan penuh rasa ikhlas, tanpa sedikit pun rasa terbeban. 
Betapa indahnya kehidupan, apabila tertambahnya sebuah nilai agung yang membuatkan urusan dunia yang asalnya hambar, menjadi urusan akhirat yang akan dihitung ke Syurga. 
Bersukan bukan lagi sekadar menjadi pengisi masa terluang untuk bersuka-suka, tetapi sesuatu yang besar ertinya pada pemantapan kekuatan ummah apabila ianya disarankan oleh Rasulullah. 
Membahagiakan ahli keluarga dan jiran tetangga bukan lagi menjadi aksi-aksi sebuah akhlak asasi, tetapi sebuah tanggungjawab yang bernilai Syurga.
Dengan cinta inilah, seluruh kehidupan kita mempunyai roh sebuah kehidupan bernilai akhirat, sejajar dengan matlamat baginda didatangkan kepada umatnya, termasuklah kita, umat akhir zaman. Kedatangan baginda memberi sebuah sinar kehidupan, yang memperjelas jalan-jalan ke Syurga. 
Semestinya, pilihan berada di tangan kita.
 Mempertaruhkan sebuah ketaatan dengan satu keterpaksaan, atau menyulam ketaatan dengan sebuah keikhlasan rasa cinta? Tepuk dada tanya selera. Akhir kalam, ayuh kita risik-risikkan khabar jiwa kita semua


Selamat menyulam cinta..


Ya Allah jadikanlah kami senantiasa menyintai Nabi Muhammad sallaLLahu ‘alaihi wasallam

Wasallam




Tiada ulasan: